Friday, October 15, 2010

BAHASA MELAYU ATAU BAHASA MALAYSIA?

Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan yang baru-baru ini dilancarkan di Ipoh,Perak oleh Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya merasa amat terpanggil untuk kita mengambil kata putus samada ingin kekal menggunakan istilah ‘Bahasa Melayu’ atau mengubah secara terus kepada istilah ‘Bahasa Malaysia’.

Bersesuaian dengan semangat 1 Malaysia yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri,rasanya molek benarlah jika sekarang istilah itu diubah kepada ‘Bahasa Malaysia’ dan kekal tanpa perlu diubah lagi. Ini agar Bahasa Melayu tetap kekal sebagai bahasa yang mengandungi perkataan dan ayat daripada bahasa atau dialek suku-suku kaum Melayu dan Nusantara seperti daripada Jawa, Minang atau Pattani manakala Bahasa Malaysia pula boleh diperkayakan dengan perkataan-perkataan daripada kesemua kaum di Malaysia agar perbendaharaan katanya lebih luas dan dapat menjangkau semua maksud yang ingin diterjemah daripada bahasa-bahasa asing termasuk bahasa Inggeris.

Kepada ‘pejuang bahasa Melayu’ yang mungkin menentang idea ini, cubalah berfikir secara jujur, bukankah kita biasa mendengar perbualan yang turut dicampur dengan beberapa perkataan cina seperti tapau dan bohsia. Kita juga sering menggunakan pelbagai perkataan daripada suku-suku bangsa Melayu dan Bumiputera lain seperti jika ingin menerangkan maksud besar di dalam dialek Jawa,kita menggunakan perkataan abot manakala dalam dialek Minang kita menggunakan pula perkataan gadang. Jadi dimana salahnya jika kita mula menggunakan istilah Bahasa Malaysia dan kita asimilasikan dengan pelbagai perkataan dan frasa daripada kesemua kaum yang ada di Malaysia.

Lagipun,cukuplah kita terus membohongi diri dengan mengatakan kita sayang bahasa kita sedangkan selama ini tiada satu usaha pun yang diperjuangkan secara ikhlas untuk benar-benar memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.Sudah berapa ratus perkataan Inggeris telah hingga kini cuma berjaya dimelayukan sahaja tanpa usaha untuk mencari makna sebenarnya agar kita boleh benar-benar berbangga menggunakannya.Siapa boleh menolak hakikat bahawa perkataan-perkataan seperti asimilasi ialah seerti dengan perubahan,program pula seerti dengan makna rancangan. Selama ini kejayaan kita sekadar memperbanyakkan terjemahan bertaraf itu sahaja dan ini sebenarnya merosakkan Bahasa Melayu yang indah.

Ini berbeza jika kita menggunakan istilah ‘Bahasa Malaysia’ kerana bahasa itu ialah bahasa kebangsaan negara Malaysia dan boleh mengalami proses perubahan dan kematangan sesuai dengan kemajuan yang kita capai.Pelbagai perkataan baru boleh ditambah dan digunakan didalam pertuturan dan penulisan berdasarkan situasi semasa dan perkataan-perkataan daripada bahasa asing

Pendapat saya secara peribadi juga kuat menyatakan jika kita mula mengubah kepada istilah Bahasa Malaysia,proses perpaduan juga lebih mudah kerana secara logiknya kaum-kaum lain akan mula merasakan Bahasa Malaysia juga ialah hak mereka dan wajib dipertahankan sebagaimana mereka mempertahankan bahasa ibunda mereka,sebelum ini mungkin mereka secara diam mengatakan Bahasa Melayu ialah milik orang melayu sahaja dan tiada kepentingan mereka untuk menggunakannya atau mempertahankannya. Bahasa Malaysia berupaya meningkatkan tahap patriotisme di kalangan semua rakyat Malaysia kerana itu adalah bahasa perpaduan yang menghubungkan antara rakyat yang berbeza kaum,agama,adat dan latar belakang sosial.

Dengan perubahan semula istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia bukanlah bermakna kita melanggar artikel 152 kerana kita tetap menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Malaysia cuma Bahasa Melayu yang asal tidak mengalami pertambahan perkataan-perkataan yang dimelayukan daripada bahasa asing atau berlaku cedukan mana-mana istilah tetapi Bahasa Malaysia pula bebas mengikuti proses evolusi zaman dan terbuka dengan pengaruh lain-lain istilah dan corak bahasa  lain-lain kaum.

Bukankah ini lebih adil kepada semua dan selepas ini kerajaan boleh mewajibkan semua rakyat perlu mahir Bahasa Malaysia dan setiap warga asing yang ingin bekerja di sini perlu mengetahui asas-asas Bahasa Malaysia.Sekurang-kurangnya Bahasa Melayu akan kekal indah tanpa diceroboh oleh pelbagai istilah-istilah yang adakalanya menggelikan hati kerana seperti pegawai-pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka cuma mampu memelayukan Bahasa Inggeris sahaja. Akhir sekali, saya ingin memohon maaf jika saya dilihat kurang melayu dengan cadangan ini cuma saya lebih suka jujur dengan senario sebenar dan sebagai seorang pencinta Bahasa Melayu tulen.

No comments:

Post a Comment